Dikisahkan bahwa
semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah
seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah
kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana Allah S.W.T."
Setelah fakir
miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalu
memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan
roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong
tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka
Allah S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta
kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia
meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu
rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang
kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.
Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu
masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia
berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah
perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan
bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam
apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya.
Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa
dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis
tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan
tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata,
"Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian,
oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."
Setelah si suami
berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun
suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari
sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah,
sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka
tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."
Setelah gadis itu
mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia
mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan
bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa
menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke
rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah
bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka
sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka
sesungguhnya dia telah memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi
kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan
kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah
S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah
seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu
rahmat."
0 komentar: